Jumaat, 29 Januari 2010

KEJADIAN 2 GURU BERGADUH AMAT MEMALUKAN PROFESION KEGURUAN.

abwahab@hmetro.com.my
2010/01/29

BANTING: Memalukan apabila seorang ustazah dan guru wanita di sebuah sekolah rendah di sini bergaduh sesama sendiri dengan disaksikan pelajar dan guru lain di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi, ustazah berusia 40-an dan guru Matematik berusia 24 tahun dikatakan ‘bergusti’ selepas berlaku salah faham ketika berada di kantin sekolah. Difahamkan, guru muda terbabit terpaksa melarikan diri sambil dikejar sehingga ke padang sekolah sebelum ditampar dan bergelut dengan ustazah terbabit. Sumber berkata, kejadian itu dipercayai berpunca daripada dendam ustazah berkenaan sejak setahun lalu selepas anaknya yang diajar guru terbabit dipukul dengan pembaris kerana melakukan kesalahan. Bagaimanapun katanya, tindakan guru itu menimbulkan perasaan tidak puas hati ustazah itu sehingga membawa kepada pergaduhan. “Guru muda itu dikatakan dikejar sehingga ke padang sekolah sebelum dia ditampar, dipukul dan bergelut dengan ustazah itu. “Insiden itu berlaku beberapa minit dan dipercayai turut disaksikan pelajar yang sedang melakukan aktiviti luar sebelum beberapa guru lain berjaya mententeramkannya,” katanya di sini, semalam. Difahamkan, kejadian itu kali pertama berlaku di sekolah berkenaan, bagaimanapun kejadian itu boleh menimbulkan implikasi negatif kerana ia disaksikan pelajar. Susulan kejadian itu, guru Matematik itu kemudian membuat satu laporan polis kira-kira jam 10 pagi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat berhubung kejadian itu. Kedua-dua guru berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan, bagaimanapun difahamkan mereka sudah dipanggil pentadbir sekolah untuk mendapatkan penjelasan mengenai kejadian itu kerana ia mula menjadi buah mulut. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohamad Radzi Ishak ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu. “Saya difahamkan kedua-dua guru terbabit pernah berselisih faham sebelum berlaku kejadian ini. “Bagaimanapun ia dapat dikawal dan diselesaikan secara baik oleh pihak sekolah,” katanya.

P/s:Inilah jadinya jika masalah peribadidan dendam kesumat dibawa ke sekolah? apasalahnya guru mengajar anak kita menghukum untuk kebaikan? mentaliti ustazah beginikah yang ada pada semua orang sekarang yg menyebabakan anak@pelajar tidak boleh disentuh?Amat memalukan dan amat kurang wajar kes semacam ini berlaku.

Rabu, 27 Januari 2010

MALAYSIA SECARA RASMI JADI PUSAT SERANTAU PENDIDIKAN KHAS

CEBU 27 Jan. - Persidangan Majlis Menteri-Menteri Pelajaran Asia Tenggara (SEAMEC) Ke-45 yang berlangsung di sini hari ini bersetuju menubuhkan sebuah pusat serantau mengenai pendidikan khas (SEAMEO SEN) di Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pusat serantau itu ketika ini sudah pun beroperasi secara sementara di Melaka.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran menambah, pusat serantau tetap pula akan dibina di Nilai, Negeri Sembilan dalam masa terdekat dengan semua perbelanjaan dibiayai oleh Malaysia.

"Pusat itu yang pertama seumpamanya di rantau ini akan memberi tumpuan kepada penyediaan pelbagai kemudahan pendidikan khusus kepada pelajar-pelajar istimewa,'' katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas tamat salah satu sesi perbincangan yang dihadiri beliau di sini, sempena SEAMEC ke-45.

Cadangan pembinaan SEAMEO SEN itu sudah pun dipersetujui ketika Persidangan SEAMEC ke-44 di Phuket, Thailand tahun lalu dan dibawa ke persidangan kali ini bagi membolehkan dua dokumen penting ditimbang dan diluluskan sebelum Malaysia secara rasmi menubuhkannya.

Dua dokumen penting itu ialah perjanjian persefahaman (MoA) dan instrumen penstrukturan.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin memberitahu, Malaysia sependapat dengan Singapura, Filipina dan Vietnam untuk memberi lebih perhatian kepada usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar di negara masing-masing.

Beliau berkata, persetujuan menyediakan gabungan pakar yang boleh dikongsi oleh negara anggota terutamanya di kalangan empat negara ini juga berjaya dicapai sewaktu berlangsungnya pertemuan dua hala dengan negara-negara tersebut.

"Kerjasama dalam bahasa Inggeris ini ditekankan kerana kita berdepan dengan masalah yang hampir sama iaitu kekurangan guru bahasa Inggeris yang terlatih.

"Malah, perkara ini sebenarnya merupakan fenomena dunia kerana tuntutan untuk mempelajari bahasa Inggeris meningkat dengan mendadak termasuk di China,'' ujar beliau.

Muhyiddin menambah, perhatian negara terhadap pembelajaran bahasa Inggeris itu sebenarnya selari dengan dasar yang diumumkan kerajaan iaitu memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuh bahasa Inggeris yang akan dimulakan tidak lama lagi. - utusan

Selasa, 26 Januari 2010

SENARAI PENUH SBT 2010




1.
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (P) Sri Aman, Petaling Jaya, Selangor.
2.
Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru, Johor.
3.
Sekolah Dato’ Abdul Razak, Seremban, Negeri Sembilan.
4.
Kolej Melayu Kuala Kangsar, Perak.
5.
Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya, Selangor.
6.
SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur.
7.
Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Jitra, Kedah.
8.
Kolej Tunku Kurshiah, Seremban, Negeri Sembilan.
9.
Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang.
10.
SMK Sultanah Asma, Alor Setar, Kedah.
11.
SMK (P) St. George, Pulau Pinang.
12.
Sekolah Menengah Sains (SMS) Tuanku Syed Putra, Perlis.
13.
Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya.
14.
SMS Muzaffar Syah, Melaka.
15.
Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bintang Utara, Kuala Lumpur.
16.
SK Zainab (2), Kota Bharu, Kelantan.
17.
SK Taman Tun Dr. Ismail 1, Kuala Lumpur.
18.
SK Convent Kota, Taiping, Perak.
19.
SK Bukit Damansara, Kuala Lumpur.
20.
SK Bandar Baru Uda 2, Johor Bahru, Johor.

20 SBT Diumum


PUTRAJAYA 25 Jan. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan senarai 20 Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dalam usaha kerajaan mengangkat kualiti sekolah terbaik di seluruh negara ke taraf dunia.

Sekolah terbabit terdiri daripada 10 sekolah berasrama penuh, empat sekolah harian biasa dan enam sekolah kebangsaan.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pemilihan SBT dibuat berdasarkan prestasi cemerlang dalam akademik, kokurikulum dan kebitaraan, sekali gus melayakkan sekolah berkenaan menikmati kuasa autonomi tambahan.

Muhyiddin berkata, kerajaan menyasarkan 30 sekolah lagi akan dipilih sebagai SBT pada tahun depan manakala 50 lagi pada 2012 menjadikan keseluruhannya 100 sekolah.

Katanya, langkah itu bagi mewujudkan inovasi pentadbiran sekolah dan meningkatkan keberhasilan murid.

“Kuasa autonomi tambahan itu melibatkan kurikulum fleksibel dan pemilikan bajet, antara lainnya membenarkan para pelajar cemerlang menamatkan persekolahan setahun lebih awal melalui kaedah lompat kelas.

“SBT juga diberi kelonggaran dalam pengajaran dan pembelajaran serta silibus bagi mata pelajaran wajib dan elektif,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.

SBT Bukan Sekolah Elit - Muhyiddin




PUTRAJAYA 25 Jan. - Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) yang diumumkan hari ini bukan sekolah elit yang akan memberi manfaat kepada hanya sebilangan kecil pelajar.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, setiap sekolah di negara ini mempunyai peluang yang sama dan boleh bersaing di padang sama rata untuk diiktiraf sebagai SBT.

Ini kerana, kata Menteri Pelajaran itu, mana-mana sekolah yang mencapai sasaran kecemerlangan dan memenuhi kriteria yang ditetapkan akan diiktiraf sebagai SBT serta mendapat kemudahan serta ganjaran yang sama.

"Peraturan kita tidak kira sama ada sekolah bandar atau luar bandar atau pedalaman, kalau boleh memenuhi kriteria yang ditetapkan, sekolah itu akan diiktiraf sebagai SBT.

"Bagi sekolah luar bandar atau pedalaman, mungkin mereka menghadapi cabaran kerana kemudahan yang ada belum setanding tetapi kita tidak melihat usaha sebegini dalam tempoh jangka pendek," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena pengumuman 20 buah SBT tahun 2010 di sini hari ini.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, SBT perlu memberi sumbangan kepada sekolah lain melalui program mentor oleh guru SBT, perkongsian bahan dan pengetahuan, perkongsian amalan terbaik dan pertukaran pelajar.

"Selain itu, SBT juga perlu mengekalkan hubungan baik dengan sekolah dan universiti untuk mencapai persefahaman bersama," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, SBT perlu menekankan kepada ciri-ciri untuk pembangunan berterusan status mereka melalui peningkatan pelan strategik, pengurusan, program akademik dan kokurikulum sokongan.

Katanya, SBT perlu memastikan peningkatan tahap prestasi (akademik, kokurikulum dan sukan) serta program jalinan dengan universiti tempatan atau luar negara.

"Demikian juga SBT harus menjayakan lebih banyak program melibatkan komuniti sebagai penanda aras kepada sekolah lain, peningkatan jumlah guru dan murid cemerlang serta meningkatkan keberhasilan untuk semua pelajar," katanya.

Isnin, 25 Januari 2010

CABARAN BARU


Pertama kali menjejak kali ke Sekolah Kebangsaan Ladang Ulu Remis memberi 1001 perasaan kepasa saya, manakan tidak… tidak pernah tergambar difikaran saya akan ditempatkan disini apatah lagi di sebuah Ladang Kelapa sawit kira-kira 40 minit memandu dari rumah saya, Walaupun suami amat biasa dikawasan ni dan kawasan-kawasan ladang di negeri Johor namun ianya amat asing bagi diri saya.Pelbagai persoalan dan pertayaan menerjah diri saya…pun begitu saya cuba gagahinya.


Betul kata orang tak kenal maka tak cinta,saya tersentuh untuk mendidik anak murid saya yang terdiri dari anak-anak pekerja Ladang Kelapa Sawit ini…saya bertekad akan memberi yang terbaik untuk sekolah ini, khususnya dalam memulihkan pelajar-pelajar pemulihan khas yang saya di pertanggungjawabkan ke atas saya untuk dipulihkan. Kata orang Jika takutkan Ombak usah berumah ditepi pantai...dan sememangnya saya cukup bersedia kearah itu..usahkan ombak.. jika tsunami sekalipun akan cuba saya harungi demi menjayakan tangungjawab yang diletakkan dan diamanahkan pada saya.


Dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih yang tak terhingga pada semua warga sekolah terutamanya Guru Besar dan semua rakan seperjuangan yang sudi menerima saya seadanya disini.Tak lupa juga untuk suami tercinta yang banyak bekorban demi memastikan cita-cita saya tercapai.

Sabtu, 23 Januari 2010

PROGRAM PEMULIHAN KHAS

KONSEP
Dalam proses Pendidikan , Pendidikan Pemulihan Khas ialah :
“ Satu perkhidmatan yang diadakan khusus untuk murid–murid yang menghadapi kesulitan pembelajaran khususnya dalam menguasai satu-satu kemahiran membaca, menulis dan mengira sebagai asas menjadi Fokus Kurikulum Baru Sekolah Rendah” .

MATLAMAT
Program Pemulihan Khas disediakan untuk membantu murid menguasai kemahiran-kemahiran asas 3M yang belum dapat dikuasai dalam tempuh masa yang ditetapkan.

TAKRIFAN
AE Tanseley dan R. Culliford
“ kanak-kanak pemulihan adalah kanak-kanak yang mempunyai intelek dan kecerdasan yang rendah juga kurang berkebolehan menerima pendidikan biasa, ”

M. F . Clough
“ kanak-kanak pemulihan ialah kanak-kanak yang kurang daya taakul, kurang berkemampuan membuat sesuatu keputusan atau kesimpulan dan kurang memahami tentang perkara yang agak abstrak. ”

Sharifah Rahman Ali
“ kanak-kanak yang gagal menerima pelajaran dan mereka ini berkemampuan mempunyai kecerdasan yang tinggi , yang sederhana dan di bawah paras sederhana . Kita tidak masukkan kategori kanak-kanak yang lemah (mentally retarded).”

” Kanak-kanak Pemulihan Khas adalah kanak-kanak yang tidak dapat menguasai kemahiran asas 3M pada masa yang sepatutnya.”

Strategi Pelaksanaan
Pencalonan Murid

i) Murid yang tidak melepasi Ujian Pelepasan KIA2M
ii) Pencalonan murid boleh dibuat oleh:
* guru mata pelajaran / guru kelas
* guru besar
* ibu bapa
iii) Murid KIA2M yang telah berjaya dalam Ujian Pelepasan I atau 2 tidak boleh dicalonkan.

Pengumpulan Maklumat
i) Maklumat peribadi dan prestasi murid dapat menolong guru pemulihan khas memahami murid yang dicalonkan dan membuat keputusan samada murid perlu mengikuti program pemulihan khas atau sebaliknya. Guru pemulihan khas juga dapat mengetahui tentang kesihatan dan taraf sisio-ekonomi murid.
ii) Maklumat tersebut boleh didapati dari:
a) Guru besar – berdasarkan rekod murid, pemerhatian dan perhubungan
b) Guru Kelas – boleh menambah maklumat dengan mengambil tahu kehadiran,
ketepatan masa kesekolah dan perhubungan dengan murid-murid lain.
c) Ibubapa – boleh memberitahu tentang tingkah laku umum, kegemaran dan perkara-
perkara yang tidak digemari serta sikapnya terhadap pelajaran.Perbincangan dengan
ibubapa amat digalakkan bagi membolehkan pelaksanaan program pemulihan khas
berjalan lancar.



Ciri-Ciri Kanak-Kanak Pemulihan

Antara ciri-ciri kanak-kanak pemulihan ialah;

a. Emosi dan Tingkahlaku

i. Perasaan rendah diri.
ii. Perasaan risau.
iii. Perasaan sedih, hiba atau duka.
iv. Perasaan cepat bosan atau jemu terhadap pelajaran.
v. Perasaan takut akan perkara-perkara baru.
vi. Degil, tidak patuh pada peraturan-peraturan dan suka melawan.
vii. Pasif.
viii. Malas

b. Sosial
i. Gelisah dan selalu bergerak di dalam darjah serta mengganggu kawan-kawan.
ii. Lemah / kurang interaksi dengan rakan.
iii. Gemar menghisap atau menggigit jari/kuku.
iv. Selalu tidak hadir ke sekolah dengan berbagai-bagai alasan.
v. Menangis - enggan masuk darjah.
vi. Hyper aktif.

c. Kesihatan
i. Lemah tubuh badan serta kurang zat makanan.
ii. Tumbesaran tubuh badan tidak seimbang (gemuk/kurus).
iii. Tumpuan perhatian terhad (masalah penglihatan).
iv. Lemah gerakkan motor-kasar dan halus.
v. Kesihatan terganggu seperti selalu sakit, sakit terlalu lama dan teruk.
vi. Kurang menjaga kebersihan diri.

d. Kesediaan Belajar
i. Belum bersedia untuk belajar.
ii. Perbendaharaan kata kurang.
iii. Lemah pemahaman.
iv. Kurang keyakinan diri dan rangsangan.
v. Kurang matang – IQ tidak seimbang dengan umur hayat.

e. Pengamatan

i. Tidak kenal perbezaan bentuk, saiz, warna dan turutan.
ii. Lemah pendengaran bunyi dan rentak.
iii. Keliru terhadap konsep ruang dan mencari arah.
iv. Lambat mengkelaskan benda.
v. Kesukaran mengaitkan pelajaran yang lama dengan yang baru.
vi. Tidak dapat menyelesaikan masalah.
vii. Sukar ambil bahagian dalam permainan dan tidak faham undang-undang.
viii. Tidak kreatif.
ix. Lemah pergerakan dan perbuatan.
x. Lemah daya pemikiran/ingatan.
xi. Tidak boleh mengingat kembali.


Mengenal pasti Murid Pemulihan Khas

1. Melalui perbincangan dengan guru kelas atau guru mata pelajaran.
2. Rekod-rekod prestasi
3. Rekod kesihatan
4. Kerja-kerja harian murid
5. Laporan Adab Belajar ( LAB )
6. Melalui pemerhatian
7. Punca-punca lain yang diperolehi

TUGAS, TANGGUNGJAWAB DAN PERANAN GURU PENDIDIKAN PEMULIHAN KHAS

1. PENGENALAN

Pendidikan Pemulihan adalah satu cabang pendidikan khusus bagi mengatasi serba sedikit tentang masalah pendidikan yang timbul pada masa kini, khasnya bagi kanak-kanak yang nyata sekali menghadapi masalah pembelajaran serta tecicir dan ketinggalan dalam alam pendidikan jika dibandingkan dengan tingkat kebolehan lahiriah mereka.


2. PERANAN GURU PENDIDIKAN PEMULIHAN KHAS

Guru Pendidikan Pemulihan Khas memainkan Lima Peranan Penting seperti berikut:

2.1 Peranan Sebagai Penilai ( An Assessment Role )

2.1.1 Menyedia dan menjalankan ujian saringan untuk mengenal pasti murid-murid yang
memerlukan pemulihan khas.

2.1.2 Menjalankan Ujian Diagnostik untuk mengenal pasti masalah pembelajaran yang khusus
yang dihadapi oleh murid-murid.

2.1.3 Menjalankan penilaian berterusan dan merekodkannya dengan rapi dan tersusun.

2.2 Preskriptif ( Presciptive Role )

2.2.1 Merancang dan menyelia serta melaksanakan program individu bagi kanak-kanak yang
mempunyai masalah pembelajaran yang tertentu.

2.2.2 Mengadakan bengkel atau demonstrasi pengajaran pemulihan di mana keadaan
memerlukan..

2.3 Peranan Pengajaran (A Teaching Therapentik)

2.3.1 Mengajar dan membantu murid-murid yang lambat dan menghadapi masalah kemahiran
asas 3M.

2.3.2 Mengajar bersama-sama dengan guru mata pelajaran sebagai “ team teaching ” / “ guru
pendamping ” sekiranya perlu.

2.4 Peranan Khidmat Bantu ( A Supportive Role )

2.4.1 Membantu guru-guru merancang dan penambahbaikkan aktiviti-aktiviti dan bahan-
bahan pengajaran dan pembelajaran.

2.42 Membimbing guru-guru melaksanakan teknik dan kaedah mengajar murid-murid
yang menghadapi masalah 3M.

2.5 Peranan Perhubungan ( A Liaison Role )

2.5.1 Berbincang dengan ibu bapa atau penjaga murid untuk mendapatkan maklumat dan
latar belakang murid.

2.5.2 Mengajukan cadangan-cadangan kepada ibu bapa bagaimana mereka membantu demi
kepentingan pembelajaran anak-anak mereka.

Jumaat, 22 Januari 2010

ISU PENDIDIKAN PEMULIHAN KHAS


IKUTI pandangan Dekan Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, Prof Dr Saedah Siraj, mengenai keperluan kaedah pengajaran dan pembelajaran berbeza bagi mengatasi masalah penguasaan kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) di kalangan murid sekolah seperti disampaikan kepada wartawan pendidikan Berita Harian, Khairina Yasin.

KEGAGALAN atau ketidakupayaan sebahagian murid sekolah rendah menguasai kemahiran asas 3M adalah antara cabaran getir dunia pendidikan hari ini. Biarpun sukar mengenal pasti angka sebenar murid dikategorikan bermasalah itu setakat ini, ramai pakar pendidikan bimbang implikasinya yang mungkin boleh menyebabkan mereka hilang minat ke sekolah. Jika kelemahan murid menguasai 3M ini tidak diatasi sejak Tahun Satu, masalah itu akan berlarutan apabila mereka memasuki Tahun Dua dan seterusnya. Di manakah silap atau apakah kekurangannya? Dalam memperbetulkan keadaan, tidak dinafikan banyak usaha dilaksanakan Kementerian Pelajaran bagi menangani masalah penguasaan 3M ini di kalangan murid.



Kaedah P&P berbeza perlu meningkatkan penguasaan 3M di kalangan murid.

Antaranya mengadakan kelas pemulihan, kelas khas untuk kanak-kanak istimewa, latihan guru berpendidikan khas, perluasan kempen membaca dan penempatan kaunselor di setiap sekolah. Namun, keberkesanan pelaksanaannya tidak menyeluruh dan belum mampu memberi perubahan besar terhadap perkembangan penguasaan kemahiran 3M di kalangan murid terbabit.

Dalam sesetengah keadaan, kurangnya komitmen pengurusan sekolah antara penyebab pendidikan murid tergolong dalam kategori ini, gagal mencapai matlamatnya. Menyisihkan murid terbabit daripada mengikuti pendidikan seperti rakan lain hanya akan menyulitkan langkah mengatasi masalah mereka kemudian hari.




Ada juga yang menegaskan kepentingan peranan ibu bapa dalam membantu anak menguasai kemahiran asas berkenaan, namun ia tetap tidak membebaskan guru daripada membantu murid yang lemah itu. Berdasarkan kajian sebelum ini, keperluan langkah penyaringan dan pengesanan awal murid yang belum menguasai 3M penting bagi mengenal pasti pelaksanaan program pemulihan bersesuaian dengan mereka. Langkah awal itu membolehkan murid dikelompokkan berdasarkan punca sebenar kelemahan mereka menguasai 3M sama ada akibat persekitaran, pemakanan atau kesihatan.

Pemerhatian mendapati murid lemah 3M boleh dikelompokkan lima kategori, iaitu anak Orang Asli, kanak-kanak istimewa atau pendidikan khas, murid menghadapi masalah psikologi, kanak-kanak terbiar dan mereka yang sememangnya berketurunan tidak boleh membaca atau dungu. Setiap kelompok murid terbabit memerlukan kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) berbeza bagi memastikan kelemahan pembelajaran mereka dapat diatasi secara berperingkat. Pencarian kaedah P&P mengikut kelompok perlu ditekankan Kementerian Pelajaran kerana jika dilaksanakan secara tunggal, ia tidak boleh diguna atau diaplikasikan kepada semua murid yang gagal menguasai 3M. Keadaan ini wajar dikaji semula di peringkat akar umbi dengan merujuk faktor mempengaruhi masalah penguasaan 3M dalam setiap kelompok murid terbabit sebelum menentukan kaedah P&P yang tepat dan bersesuaian.

Dalam kes anak Orang Asli contohnya, kesukaran memberi fokus kepada apa yang diajar menyebabkan mereka gagal menguasai 3M. Hubungan antara pemikiran dengan pergerakan mata agak lambat berikutan wujudnya gangguan yang menjejaskan fokus mereka terhadap pembelajaran. Bagi menanganinya, penggunaan alat muzik dalam proses P&P disifatkan antara kaedah sesuai untuk meningkatkan penguasaan kemahiran asas itu di kalangan anak Orang Asli. Ini kerana mereka amat peka terhadap deria pendengaran. Oleh itu, alat muzik adalah perantara sesuai diguna pakai guru bagi menarik tumpuan kelompok murid masyarakat minoriti itu terhadap pengajaran guru. Malah, banyak kajian luar negara membuktikan penggunaan alat muzik mengikut etnik atau budaya berjaya membangunkan kemahiran 3M di kalangan murid sekolah.


PENGAJARAN menerusi lagu atau alat muzik sesuai untuk murid Orang Asli.

Bagi kes murid istimewa atau pendidikan khas, kepekaan ibu bapa terhadap proses pengembangan anak dituntut bagi membolehkan kelemahan mereka dikesan sejak awal. Murid disleksia antara kelompok murid yang gagal menguasai 3M, namun disebabkan pengetahuan ibu bapa yang rendah mengenai penyakit itu menyebabkan masalah berkenaan tidak dipandang serius. Malah, ramai ibu bapa termasuk golongan profesional cuba menafikan anak mereka berdepan masalah berkenaan hingga merasakan tidak perlu dibantu. Murid disleksia melihat sesuatu dengan pandangan yang berbeza terutama berkaitan pembelajaran. Sebagai contoh, mereka tidak dapat diajar abjad dengan cepat kerana ada huruf yang akan ditinggalkan disebabkan pemikiran tidak dapat 'membaca' huruf berkenaan. Dalam usaha menangani masalah ini, kaedah P&P haruslah lebih khusus dan perlu dipraktikkan guru yang mahir mengenainya.

Selain guru dan murid, keberkesanan program pemulihan ini memerlukan kerjasama dan penggemblengan tenaga semua pihak, termasuk sekolah dan ibu bapa. Apa yang penting, pelaksanaan tindakan progresif menangani masalah penguasaan 3M di kalangan murid ini sepatutnya sejak awal lagi, bukan pada peringkat mereka sudah terlalu jauh tercicir.

(petikan diambil dari Berita Harian : 4 nov 2009)

KELAS PEMULIHAN MURID GAGAL KUASAI 3M



MUHYIDDIN ketika berucap menyampaikan perutusan Tahun Baru 2010 kepada warga kementeriannya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 8.1.10.

  • Pelajar Tahun Satu gagal ujian khusus diasing
  • Guru terbaik tingkat penguasaan 3M

    PUTRAJAYA: Mulai tahun ini, semua murid Tahun Satu akan menjalani ujian khusus selepas dua bulan memulakan persekolahan bagi menguji tahap penguasaan dalam menulis, membaca dan mengira (3M) selaras dengan pelaksanaan program Literasi dan Numerasi (Linus).

    Menerusi ujian itu, murid yang dikenal pasti lembap dalam pembelajaran akan dimasukkan ke kelas pemulihan, manakala yang mengalami kecacatan fizikal seperti masalah telinga atau mata ditempatkan di kelas pendidikan khas di sekolah sama.
  • KEMANGKATAN DYMM SULTAN JOHOR


    TERKINI Sultan Johor, DYMM Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, mangkat pada jam 7.15 malam ini di Hospital Pakar Puteri Johor Bahru selepas memerintah hampir tiga dekad. Baginda berusia 77 tahun.

    Pengumuman kemangkatan baginda dibuat oleh Menteri Besar Johor, Datuk Seri Abdul Ghani Othman.

    Baginda dikejarkan ke Hospital Pakar Puteri, pagi tadi kerana gering.

    Baginda meninggalkan Sultanah Johor, Sultanah Zanariah serta dua putera dan lapan puteri iaitu Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail, Tunku Puteri Johor unku Hajah Kamariah, Tunku Besar Tunku Zabedah Aminah, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah, Tunku Hajah Mariam Zahrah, Tunku Norani, Tunku Maimunah smailiah, Tunku Bendahara Johor Tunku Abdul Majid Idris Ismail, Paduka Puteri unku Muna Najiah dan Tunku Aminah Kalsom Masera Marian Zahirah.

    Baginda yang diputerakan di Istana Semayam, Johor Bahru pada 8 April 1932, dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 11 Mei 1981.

    Tiga tahun kemudian pada 15 November 1984 baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan.

    Sultan Iskandar menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Ngee Heng, Johor Bahru sebelum melanjutkan pelajaran di English College (sekarang Maktab Sultan Abu Bakar) di Johor Bahru dan seterusnya melanjutkan pelajaran di Trinity Grammar School, Australia pada usia 16 tahun sebelum ke Devon Technical College, England lima tahun kemudian.

    Setelah menamatkan pengajian pada 25 Januari 1956, baginda pulang ke Johor pada 1956 dan terus berkhidmat sebagai pegawai tadbir dalam Perkhidmatan Awam Negeri Johor sehingga 1959.

    Sultan Iskandar dilantik Tengku Mahkota Johor pada 8 Mei 1959 berikutan kemangkatan nenda baginda, Almarhum Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Abu Bakar di London.

    Pada Disember 1966, baginda dilantik Raja Muda Johor oleh ayahanda baginda dan turut menceburkan diri dalam bidang perniagaan dengan menubuhkan beberapa syarikat seperti Mados Enterprises dan Mados-Cito-Daiken.

    Pada 10 Mei 1981, baginda dilantik Pemangku Raja pada 11 Mei 1981, selepas Sultan Ismail gering dan dimasyhurkan sebagai Sultan Johor keempat dalam sejarah Johor moden.

    Petang tadi, putera sulung baginda Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail dimasyhurkan Pemangku Raja dan istiadat mengangkat sumpah diadakan di Istana Besar Johor.

    Manakala pemasyhuran Sultan Johor yang baru akan dilaksanakan di Istana Besar Johor sebelum upacara pemakaman jenazah Almarhum Sultan Iskandar di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah kira-kira pukul 2 petang esok.

    Sementara itu, Bernama melaporkan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merafak takziah kepada kerabat diraja Johor di atas kemangkatan Sultan Johor Sultan Iskandar malam ini.

    "Saya bagi pihak kerajaan dan rakyat merakamkan rasa dukacita dan ucapan takziah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultanah Zanariah dan anakanda-anakanda serta kerabat baginda di atas kemangkatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan rasmi Perdana Menteri ke India selama lima hari sejak Selasa lepas.

    Najib berkata: "Baginda Sultan merupakan seorang raja yang amat prihatin terhadap segala perkembangan dalam negerinya dan juga sewaktu baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong.

    "Baginda memainkan peranan yang besar dalam pembangunan dan kejayaan negeri Johor dan selalu menekankan betapa pentingnya rakyat Malaysia bersatu padu," kata Perdana Menteri.

    Berikutan kemangkatan Sultan Johor, Najib memendekkan lawatannya ke India dan berlepas pulang ke tanah air pada pukul 8.30 malam ini waktu tempatan dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang awal pagi esok.

    Mengikut jadual, Najib sepatutnya berlepas pulang petang esok

    Sementara itu sesi kelas gantian bagi sekolah disini yang sepatutnya diadakan pada 23.1.10 telah dibatalkan.

    Al Fatihah