Selasa, 2 Februari 2010

MURID PENDIDIKAN PEMULIHAN KHAS

Definisi Murid Pendidikan Pemulihan Khas

Terdapat berbagai-bagai definisi untuk mentakrifkan siapa dia murid pendidikan pemulihan. Para pendidik menganggap kanak-kanak pemulihan sama dengan kanak-kanak lembam ataupun ‘slow learner’ yang mempunyai pencapaian lebih rendah daripada rakan sebaya mereka di kelas.Kanak-kanak pemulihan ialah kanak-kanak yang menghadapi masalah pembelajaran sama ada dalam membaca, menulis atau mengira. Mereka menunjukkan simptom atau gejala kesulitan untuk membaca, menulis atau mengira. Selain sering melakukan kesalahan dalam kerja sekolah dan memperoleh keputusan ujian dan peperiksaan yang kurang memuaskan, murid-murid ini juga memperlihatkan ciri-ciri seperti kurang yakin, rendah konsep diri, pasif terhadap kegiatan pembelajaran dan mudah putus asa.

3.1.1 Menurut laporan yang bertajuk “Asia and Pasific Programme of education Innovation for development” (1987) yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, sasaran pengajaran pemulihan ialah :
Those that are categorised as having learning problems generally display a disability in areas such as reading, spoken or written language, mathematics and in skills related to perceptual processes in learning. Due to their shortcomings in one or more of the areas, some children find learning a difficult task.
3.1.2 Menurut Brennan (1974), murid pendidikan pemulihan adalah murid yang gagal menghadapi kerja normal sekolah untuk kumpulan sebaya mereka,tetapi mereka tidak boleh dianggap sebagai kanak-kanak cacat.
3.1.3 Menurut Sharifah (1986), murid pendidikan pemulihan ialah murid-murid yang gagal untuk sejajar dengan rakan-rakan sebaya dalam kelasnya. Kegagalan ini dinilai dari segi akademik yang dipercayai disebabkan kurang keupayaan untuk berjaya dalam mata pelajaran asas iaitu membaca, mengira dan menulis. Mereka tidak termasuk kanak-kanak yang dikategorikan sebagai terencat akal.
3.1.4 Manakala Pusat Perkembangan Kurikulum (1984) berpendapat murid pemulihan ialah mereka yang menghadapi masalah pembelajaran dalam kemahiran-kemahiran tertentu, bersifat negatif terhadap pembelajaran dan mempunyai tingkah laku yang menjejaskan pembelajaran serta kurang sikap keyakinan diri dan sikap positif terhadap pembelajaran.
3.1.5 Koh (1984), mentakrifkan murid pendidikan pemulihan sebagai murid lambat dan diberi label seperti kanak-kanak luar biasa, kanak-kanak khas, kanak-kanak mundur, yang memiliki masalah pembelajaran dan menderita kegagalan dalam pendidikan. Murid-murid ini memperlihatkan taraf pencapaian yang tidak memuaskan dibandingkan dengan taraf pencapaian purata rakan-rakan sebaya atau tidak pada taraf yang diharapkan bagi murid-murid di peringkat persekolahan itu.
3.1.6 Johnson (1963), mendefinisikan kumpulan murid lambat sebagai murid yang tidak menunjukkan kesuburan bakat akademik seperti kanak-kanak lain yang sedarjah dengannya.
3.1.7 AE Tanseley dan R.Culliford, mentakrifkan kanak-kanak pemulihan adalah kanak-kanak yang mempunyai intelek dan kecerdasan yang rendah juga kurang berkebolehan menerima pendidikan biasa.
3.1.8 M.F. Clough mendefinisikan kanak-kanak pemulihan ialah kanak-kanak yang kurang daya taakul, kurang berkemampuan membuat sesuatu keputusan atau kesimpulan dan kurang memahami tentang perkara yang agak abstrak. Dengan segala jenis takrifan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa murid pendidikan pemulihan ialah mereka yang lambat pembelajarannya yang mempunyai kecerdasan di bawah sederhana atau rencatan yang ringan dan termasuk mereka yang menghadapi kesulitan-kesulitan am atau tertentu dalam usaha penyesuaian kepada kurikulum sekolah biasa.

3.2 Ciri-Ciri Murid Pendidikan Pemulihan Khas

Murid-murid pendidikan pemulihan juga mempunyai bermacam ciri yang membezakannya dengan murid-murid yang tahap pembelajarannya adalah normal di dalam kelas. Ciri-ciri kanak-kanak pemulihan juga boleh dikelaskan kepada 5 kategori, iaitu emosi dan tingkahlaku, sosial, kesihatan, kesediaan belajar dan pengamatan.
a) Dari segi Emosi dan Tingkahlaku
i. Perasaan rendah diri
ii.Perasaan risau
iii.Perasaan sedih, hiba atau duka
iv. Perasaan cepat bosan atau jemu terhadap pelajaran
v. Perasaan takut akan perkara-perkara baru
vi. Degil, tidak patuh pada peraturan-peraturan dan suka melawan.
vii. Pasif
viii. Malas

b) Sosial
i. Gelisah dan selalu bergerak di dalam kelas serta mengganggu kawan-kawan
ii. Lemah / kurang interaksi dengan rakan
iii.Gemar menghisap atau menggigit kuku
iv. Selalu tidak hadir ke sekolah dengan berbagai-bagai alasan
v.Menangis – enggan masuk darjah
vi.Hyper aktif

c) Kesihatan
i.Lemah tubuh badan serta kurang zat makanan.
ii.Tumbesaran tubuh badan tidak seimbang (gemuk/kurus)
iii.Tumpuan perhatian terhad (masalah penglihatan)
iv.Lemah gerakan motor-kasar dan halus
v.Kesihatan terganggu seperti selalu sakit, sakit terlalu lama dan teruk.
vi.Kurang menjaga kebersihan diri.

d) Kesediaan Belajar
i. Belum bersedia untuk belajar
ii.Perbendaharaan kata kurang
iii.Lemah pemahaman
iv.Kurang keyakinan diri dan rangsangan
v.Kurang matang – IQ tidak seimbang dengan umur hayat.

e) Pengamatan
i.Tidak kenal perbezaan bentuk, saiz, warna dan turutan.
ii.Lemah pendengaran bunyi dan rentak
iii.Keliru terhadap konsep ruang dan mencari arah.
iv.Lambat mengkelaskan benda.
v.Kesukaran mengaitkan pelajaran yang lama dengan yang baru.
vi.Tidak dapat menyelesaikan masalah.
vii.Sukar ambil bahagian dalam permainan dan tidak faham undang-undang.
viii.Tidak kreatif
ix.Lemah pergerakan dan perbuatan
x.Lemah daya pemikiran / ingatan
xi.Tidak boleh mengingat kembali
Beberapa tokoh ilmuan juga telah menggariskan ciri-ciri murid pendidikan pemulihan mengikut sudut pandangan mereka seperti di bawah :

3.2.1 Schonell (1965), mencirikan kanak-kanak lambat sebagai kanak-kanak yang kurang keupayaan dan lemah berbanding dengan kanak-kanak lain.
3.2.2 Tansley dan Gulliford (1960), telah membahagikan ciri kanak-kanak lambat kepada tiga kumpulan iaitu :
i) Kanak-kanak yang lemah dari segi perkembangan mental ditambah kecacatan-kecacatan lain seperti gangguan kesihatan, terhad pengalaman berbahasa dan mengalami gangguan emosi.
ii) Kanak-kanak ini selalunya ponteng sekolah dan biasanya berasal daripada latar belakang keluarga susah.
iii) Kanak-kanak ini biasanya mengalami kesukaran khusus dalam bacaan dan penulisan mengakibatkan mereka mengalami pencapaian yang rendah dalam hampir kesemua mata pelajaran.
3.2.3 Haigh (1977), mencirikan kanak-kanak pendidikan pemulihan seperti berikut :
i) Kanak-kanak ini rendah pencapaian dalam kemahiran asas dan mengalami ketidakupayaan dari segi bahasa menyebabkan kesukaran dalam pembelajaran.
ii) Mempunyai keupayaan berbahasa dan daya kefahaman yang terhad sehingga mereka tidak bersedia memikirkan konsep-konsep yang abstrak.
iii) Mempunyai minat yang terhad terhadap pelajaran dan bersikap dingin terhadap kejayaan dalam pelajaran. Kegagalan dalam pelajaran yang selalu dialaminya menimbulkan sikap benci terhadap sekolah.
iv) Murid ini biasanya memiliki perlakuan yang sukar dikawal. Perlakuan ini amat berbeza dari rakan-rakan yang lain. Pada kebiasaannya pakaian kanak-kanak ini juga tidak kemas dibandingkan dengan murid lain.
v) Murid ini selalunya cuba menarik perhatian guru, kerana mereka kurang menumpukan perhatian kepada pelajaran, tidak berminat, kadangkala berkelakuan liar untuk menutup kelemahan mereka.
vi) Ada kalanya murid jenis ini tidak pandai menulis tetapi boleh bertutur dengan baik. Oleh sebab minat mereka terhad dan cepat luput, maka mereka selalu mengganggu murid yang pandai.

3.2.4 Abdul Halim (1980), mentakrifkan ciri-ciri murid pendidikan pemulihan adalah seperti berikut :
i) Kanak-kanak yang menunjukkan kebolehan menulis dan membaca atau mengira sekurang-kurangnya dua tahun dibawah usianya.
ii) Kanak-kanak ini lemah daya perhatian ke atas sesuatu kerja.
iii) Kanak-kanak ini sukar menghabiskan kerja yang diberikan kepadanya.
iv) Kanak-kanak ini juga sukar mengenali simbol-simbol yang diajar kepadanya, serta kurang daya untuk memahami dan menceritakan apa yang dibacanya, walaupun mereka boleh membaca dengan baik.
v) Kanak-kanak ini juga kurang kebolehan untuk mengingat maklumat yang diajar kepadanya serta sukar memahami apa-apa yang mereka sendiri cakapkan walaupun mereka tidak mengalami masalah pendengaran. Keadaan ini menyebabkan mereka tidak boleh menyampaikan perasaan atau kehendak mereka kepada orang lain.
vi) Mereka juga tidak pandai bergaul dengan rakan sebaya mereka atas beberapa sebab. Antaranya selalu berkelakuan menyinggung perasaan orang lain, menggunakan perkataan yang tidak menarik perhatian kanak-kanak lain kepada mereka. Ini menyebabkan mereka tidak boleh menyesuaikan diri di kalangan kanak-kanak lain.
vii) Ada juga kanak-kanak ini yang kekok pergerakan tangan lalu menimbulkan masalah pembelajaran di sekolah. Ini kerana setiap kali guru menyuruh menyalin sesuatu, mereka tidak dapat menghabiskan kerja mereka dalam masa yang ditetapkan. Daya pemikiran mereka mungkin sederhana atau lebih baik dari kanak-kanak lain tetapi masalah kekok pergerakan tangan menyebabkan mereka gagal dalam ujian-ujian yang memerlukan banyak menulis. Ada juga kanak-kanak ini yang merasa tersinggung dengan masalah fizikal mereka kerana mereka selalu menjadi bahan ejekan kawan-kawan lain terutamanya dalam latihan jasmani, di mana kekekokan mereka lebih ketara. Ini melemahkan keyakinan diri mereka bukan sahaja dari segi jasmani tetapi juga dalam pembelajaran mereka
3.2.5 Menurut Marie Jean Low (1973), kanak-kanak lambat ini mempunyai ciri-ciri seperti berikut :
i) Lemah daya pemikiran yang abstrak
ii) Lemah daya kordinasi pancaindera dengan pemikiran dalam perkara :
a) pengamatan
b) pendengaran
c) pertuturan
iv) Lemah dalam penerimaan konsep baru.
iv) Kurang keyakinan diri sendiri oleh kerana dikuasai perasaan rendah diri.
vii) Tumpuan perhatian yang terhad.
viii) Tumpuan perhatian mudah terganggu oleh gangguan luar.
ix) Lemah dalam penyebutan dan pertuturan, gagap, pelat dan sengau.
x) Gangguan kesihatan seperti selsema, sakit telinga dan sakit kulit.
xi) Ketidakbolehan menganalisis sesuatu untuk membezakan yang penting dengan yang tidak penting.
xii) Ketidakstabilan emosi.
xiii) Kelemahan di dalam menghubungkan, mengaitkan dan menyesuaikan.
xiv) Ketidakbolehan mengingat kembali dan mudah lupa.
xv) Kurang perbendaharaan kata.
xvi) Kurang daya cipta atau inisiatif.
xvii) Mempunyai tingkah laku yang nakal kadangkala pendiam dan ego.
xviii) Malas datang ke sekolah.
xix) Lemah dalam membaca, menulis dan mengira.
xx) Tidak mempunyai dorongan.
xxi) Kurang pergaulan.

3.3 Punca-punca permasalahan pembelajaran kanak-kanak Pemulihan Khas.

Dalam penyampaian kertas kerja untuk pensyarah-pensyarah maktab perguruan bertajuk Pengenalan Kurikulum Baru Sekolah Rendah, Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pendidikan Malaysia telah menganjurkan ciri-ciri kanak-kanak pemulihan sebagai “ murid-murid di kelas biasa “ yang menghadapi :
a) Masalah pembelajaran dengan sebab:
i) Ketidaksesuaian bahan dan teknik pengajaran guru
ii) Tidak hadir ke sekolah
iii) Cuai dalam menjalankan aktiviti-aktiviti
iv) Leka dan lambat
b) Masalah-masalah yang menghalang pembelajaran termasuklah masalah :
i) peribadi
ii) psikologi
iii) kurang kecerdasan – lambat berfikir dan bertindak.
iv) lekas lupa, sukar memahami dan lemah pengamatan.
Pada umumnya, murid-murid pemulihan ini tidak mempunyai masalah kecacatan akal atau terencat akal. Bagi murid yang menghadapi masalah yang lebih serius, kerjasama pakar dan pihak-pihak tertentu diperlukan. Murid-murid ini ditempatkan di kelas khas di sekolah biasa atau di sekolah yang sesuai untuknya. Dengan nama lain, murid ini dipanggil ‘ murid pendidikan khas’. Kini kanak-kanak pemulihan dikenal pasti sebagai murid-murid dalam Tahap 1 iaitu dari tahun 1 hingga tahun 3, yang kerap menunjukkan kesulitan untuk membaca, menulis, mengira, mendengar, berfikir, bercakap, melukis, mentaakul, memahami dan mengingatkan kembali. Mereka juga menunjukkan kesulitan untuk membuat kerja-kerja atau pergerakan yang memerlukan penggunaan koordinasi otot-otot seni. Kesulitan belajar ini mungkin disebabkan oleh faktor seperti di bawah :
a) Perkembangan dan kematangan jasmani, emosi, intelek dan sosial yang bermasalah.
b) Makanan dan pemakanan yang tidak sempurna.
c) Penerimaan baka yang cacat.
d) Alam sekitar yang tidak mencabar akal atau rencat budaya.
e) Salah diasuh atau diajar
f) Kesediaan untuk belajar lewat, dan pengajaran diberi sebelum berlakunya kesediaan.
g) Otak yang tidak berfungsi dengan betul dan sempurna.
h) Kecacatan sejak dilahirkan atau disebabkan oleh kecelakaan dan berbagai-bagai sebab lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan