Selasa, 26 Januari 2010

20 SBT Diumum


PUTRAJAYA 25 Jan. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan senarai 20 Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dalam usaha kerajaan mengangkat kualiti sekolah terbaik di seluruh negara ke taraf dunia.

Sekolah terbabit terdiri daripada 10 sekolah berasrama penuh, empat sekolah harian biasa dan enam sekolah kebangsaan.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pemilihan SBT dibuat berdasarkan prestasi cemerlang dalam akademik, kokurikulum dan kebitaraan, sekali gus melayakkan sekolah berkenaan menikmati kuasa autonomi tambahan.

Muhyiddin berkata, kerajaan menyasarkan 30 sekolah lagi akan dipilih sebagai SBT pada tahun depan manakala 50 lagi pada 2012 menjadikan keseluruhannya 100 sekolah.

Katanya, langkah itu bagi mewujudkan inovasi pentadbiran sekolah dan meningkatkan keberhasilan murid.

“Kuasa autonomi tambahan itu melibatkan kurikulum fleksibel dan pemilikan bajet, antara lainnya membenarkan para pelajar cemerlang menamatkan persekolahan setahun lebih awal melalui kaedah lompat kelas.

“SBT juga diberi kelonggaran dalam pengajaran dan pembelajaran serta silibus bagi mata pelajaran wajib dan elektif,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan