Selasa, 26 Januari 2010

SBT Bukan Sekolah Elit - Muhyiddin




PUTRAJAYA 25 Jan. - Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) yang diumumkan hari ini bukan sekolah elit yang akan memberi manfaat kepada hanya sebilangan kecil pelajar.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, setiap sekolah di negara ini mempunyai peluang yang sama dan boleh bersaing di padang sama rata untuk diiktiraf sebagai SBT.

Ini kerana, kata Menteri Pelajaran itu, mana-mana sekolah yang mencapai sasaran kecemerlangan dan memenuhi kriteria yang ditetapkan akan diiktiraf sebagai SBT serta mendapat kemudahan serta ganjaran yang sama.

"Peraturan kita tidak kira sama ada sekolah bandar atau luar bandar atau pedalaman, kalau boleh memenuhi kriteria yang ditetapkan, sekolah itu akan diiktiraf sebagai SBT.

"Bagi sekolah luar bandar atau pedalaman, mungkin mereka menghadapi cabaran kerana kemudahan yang ada belum setanding tetapi kita tidak melihat usaha sebegini dalam tempoh jangka pendek," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena pengumuman 20 buah SBT tahun 2010 di sini hari ini.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, SBT perlu memberi sumbangan kepada sekolah lain melalui program mentor oleh guru SBT, perkongsian bahan dan pengetahuan, perkongsian amalan terbaik dan pertukaran pelajar.

"Selain itu, SBT juga perlu mengekalkan hubungan baik dengan sekolah dan universiti untuk mencapai persefahaman bersama," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, SBT perlu menekankan kepada ciri-ciri untuk pembangunan berterusan status mereka melalui peningkatan pelan strategik, pengurusan, program akademik dan kokurikulum sokongan.

Katanya, SBT perlu memastikan peningkatan tahap prestasi (akademik, kokurikulum dan sukan) serta program jalinan dengan universiti tempatan atau luar negara.

"Demikian juga SBT harus menjayakan lebih banyak program melibatkan komuniti sebagai penanda aras kepada sekolah lain, peningkatan jumlah guru dan murid cemerlang serta meningkatkan keberhasilan untuk semua pelajar," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan